Latar Belakang

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ditubuhkan dalam tahun 1946. Semenjak itu, fungsi Jabatan telah berkembang maju, lalu ditempatkan sebagai agensi penting di bawah kementerian-kementerian mengikut urutan seperti berikut:-

1946 – 1951 Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaya
1952 – 1955 Kementerian Perusahaan dan Perhubungan Sosial
1956 – 1957 Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat
1958 – 1959 Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat
1960 – 1962 Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat
1963   Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat

Pada tahun 1964, status Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ditingkatkan kepada Kementerian Kebajikan Am setelah diperluaskan skop perkhidmatannya serta dimantapkan lagi struktur organisasinya.
Dalam tahun 1972, perkhidmatan kebajikan masyarakat telah disusun semula dengan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan masyarakat melalui perluasan skop yang meliputi semua lapisan rakyat dan tidak hanya tertumpu kepada golongan kecil yang berkeperluan. Seterusnya perkhidmatan pembangunan sosial diperkukuhkan lagi dengan pengwujudan perkhidmatan baru iaitu perkhidmatan perkembangan sosial dalam tahun 1982. Pada tahun yang sama, nama Kementerian Kebajikan Am ditukarkan kepada Kementerian Kebajikan Masyarakat.
Mulai 27 Oktober 1990, Kementerian Kebajikan Masyarakat Malaysia telah ditukarkan kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Jabatan Kebajikan Masyarakat merupakan salah sebuah agensi dibawah kementerian tersebut.
Bagi memastikan bahawa peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah Darul Aman ini benar-benar berkesan maka perkhidmatan-perkhidmatan sosial ini dibahagikan kepada dua jenis perkhidmatan iaitu Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri dan Perkhidmatan Kebajikan Persekutuan.Kedua-dua perkhidmatan ini menerima peruntukan kewangan yang berasingan.
Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah bertempat di Tingkat Bawah Bangunan JKR, Jalan Sultan Badlishah, Alur Setar sejak tahun 1986. Seramai 25 orang kakitangan diberi tanggung jawab melaksanakan urusan di Ibu Pejabat. Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah boleh dihubungi melalui:- Telefon: 04-7334684, Fax: 04-7334679 dan juga melalui Email. Disamping itu terdapat sebelas buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah  dua buah institusi dibawah pentadbiran jabatan iaitu Rumah Seri Kenangan Bedong dan Asrama Pokok Sena.