Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521)

Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumahtangga dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya.

Pengertian Keganasan Rumahtangga

"keganasan rumah tangga" ertinya pelakuan mana-mana perbuatan yang berikut:

    1. secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan
    2. menyebabkan kecederaan fizikal pada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
    3. memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual atau pun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
    4. mengurung atau.menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau
    5. melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.

Oleh seseorang terhadap -

      • isteri atau suaminya;
      • bekas isteri atau suaminya;
      • kanak-kanak;
      • orang dewasa tak berkeupayaan; atau
      • mana-mana anggota lain keluarga.

Tindakan Mengikut Akta  

  • Mahkamah boleh, dalam prosiding yang melibatkan sesuatu aduan keganasan rumah tangga, mengeluarkan mana-mana satu atau lebih perintah perlindungan yang berikut:
  • perintah perlindungan yang menghalang orang yang terhadapnya perintah itu dibuat daripada menggunakan keganasan rumah tangga terhadap pengadu itu;
  • perintah perlindungan yang menghalang orang yang terhadapnya perintah itu dibuat daripada menggunakan keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak itu;
  • perintah perlindungan yang menghalang orang yang terhadapnya perintah itu dibuat daripada menggunakan keganasan rumah tangga terhadap orang dewasa tak berkeupayaan itu.